Kerajaan Perak tidak perlu bayar pampasan jika projek 'lantanid' batal
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama komuniti Orang Asli POS Kemar ketika menghadiri Program MESRA Menteri Besar Perak sempena Karnival Eksplorasi Kemarian 2022 di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar di POS Kemar, Gerik, semalam. NSTP/ Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

GERIK: Tiada bayaran pampasan dipertanggungjawabkan ke atas kerajaan negeri Perak jika projek rintis perlombongan nadir bumi ‘lantanid’ di mukim Kenering, Hulu Perak, di sini, dibatalkan selepas terbukti memberi impak negatif kepada alam sekitar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata ini kerana secara dasarnya projek itu pada mula membabitkan pengeluaran lesen penjelajahan (EL) oleh kerajaan negeri kepada syarikat yang mengendalikannya selepas diminta, selain lesen melombong (ML) yang perlu dimohon pengendali terbabit.

Katanya, ia bermaksud ketika mula EL dikeluarkan, kerajaan negeri sendiri tidak dapat memastikan sama ada mineral berkenaan benar-benar wujud di kawasan dimaksudkan.

Justeru, katanya, syarikat perlombongan terbabit sedia tahu mengenai segala risiko yang bakal dihadapi.

“Kerajaan negeri mengeluarkan EL kepada syarikat yang hendak mengendalikan perlombongan itu dan sesudah itu syarikat berkenaan perlu pula memohon lesen melombong apabila hasil penjelajahan membuktikan kewujudan mineral galian berkenaan.

“Jadi, kita tidak terbabit dengan pampasan ini sebab syarikat yang kita beri ini (lesen penjelajahan) tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kementerian (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli).

“Bermaksud, syarikat berkenaan tahu mengenainya dan ada risiko (jika perlombongan tidak diteruskan) yang membuatkan dia tidak boleh menyaman kita kembali. (Kerana) kita bukan suruh dia cari, sebaliknya dia yang (mulanya) pergi mencari kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program MESRA Menteri Besar Perak sempena Karnival Eksplorasi Kemarian 2022 di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar di POS Kemar, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim; ADUN Temengor, Salbiah Mohamed; dan Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria.

Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak Meor Abdul Rahman sebelum ini mengenai kesanggupan kerajaan negeri membayar wang pampasan sekiranya projek itu menghasilkan impak negatif kepada alam sekitar, sekali gus projek itu dibatalkan.

Katanya, konsep pemberian lesen meneroka mineral berkenaan sama sebagaimana prosedur ketika pemberian lesen berkenaan bagi aktiviti mengorek pasir, bijih timah, bijih besi dan lain-lain.

“Apabila lesen itu diberikan, kamu pergilah menjelajah dan jika ada benda (galian) itu maka datang semula kepada kita untuk mohon lesen melombong pula. Sebab lesen penjelajahan dikeluarkan dalam keadaan kita (kerajaan) pun tidak tahu sama ada wujud atau tidak mineral galian terbabit.

“Nanti apabila mereka sudah dapat sedut keluar mineral itu barulah dia akan tahu berapa kandungannya dalam kawasan itu dan kalau katakan kandungan benda (mineral) itu betul-betul hebat, sudah tentu nanti dia akan minta (pula) lesen melombong.

“Tetapi kalau tengok katakan tidak berbaloi melombongnya (lantanid), adakah anda fikir dia (syarikat perlombongan) akan teruskan aktiviti melombong berkenaan?” katanya.

Terdahulu, Saarani dilapor berkata pihaknya menjangkakan kerja-kerja melombong nadir bumi lantanid akan dimulakan seawal bulan ini iaitu selepas memperoleh kelulusan bagi Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP).

Source : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *