IPOH: Keluhan penduduk berkaitan kegiatan keturunan Kemboja yang menternak ikan dalam sangkar Sungai Perak di Parit, dekat sini melibatkan aduan mengenai isu pencemaran bau kerana penggunaan perut ayam sebagai makanan ikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah berkata, dakwaan lain terhadap kegiatan itu terutama kehadiran mereka yang berketurunan Kemboja menjejaskan pasaran ikan penternak tempatan, perkara itu adalah persaingan dalam perniagaan.

Menurutnya, beliau menerima aduan daripada penduduk mengenai pencemaran bau busuk daripada kegiatan itu kerana menggunakan perut ayam sebagai makanan ikan yang diternak terutama patin, tilapia dan baung.

“Ya saya menerima aduan mengenai kegiatan warga Kemboja ini tetapi hanya aduan mengenai pencemaran bau kerana penggunaan perut ayam sebagai makanan ikan.

“Penduduk kurang selesa kerana mereka tinggal di kampung pun terpaksa menghidu bau busuk akibat penggunaan perut ayam.

“Saya sudah rujuk perkara ini kepada Pejabat Perikanan dan diberitahu tidak ada peraturan yang menghalang sumber makanan seperti perut ayam tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, penggunaan perut ayam sebagai makanan lebih murah berbanding pallet yang membolehkan penternak menjimatkan kos.

Katanya, ini juga membolehkan penternak yang keturunan Kemboja menjual hasil ternakan mereka pada harga lebih rendah.

“Mengenai harga, saya sifatkan ini adalah saingan dalam perniagaan, penternak tempatan kena cari kaedah terbaik untuk persaingan yang sihat. Mungkin dengan cara memberikan potongan harga jualan mereka,” katanya.

Mengenai dakwaan kemungkinan ada antara penternak keturunan Kemboja itu yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah memasuki negara ini, Khairudin berkata, perkara itu hanya cakap-cakap mulut dan tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Ya ada penduduk yang bercakap begitu namun perkara ini hanya boleh ditentukan oleh pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Imigresen untuk mengambil tindakan,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, keluhan penternak ikan dalam sangkar tempatan di Sungai Perak di Parit yang tertekan dengan kegiatan turunan Kemboja yang menternak dan menguasai pasaran ikan air tawar daerah itu.

Kegiatan itu berlaku di Kampung Bidara, Bukit Chupak, Padang Kangar, Tanjung Dedalu, Sadang, Kampung Selboh, Kampung Tengah di Parit.

Penduduk yang enggan dikenali mendakwa, penternak keturunan Kemboja menawarkan harga ikan lebih rendah kerana dapat menjimatkan kos disebabkan operasi yang tidak mengikut syarat ditetapkan dengan cara memberi ikan makan perut ayam berbanding penternak tempatan yang menggunakan pallet.

Penggunaan perut ayam sebagai makanan ikan menyebabkan pencemaran sungai dan bau yang busuk.

Source : UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *