Dian Farhana menggunakan resipi turun-temurun daripada neneknya. – NSTP/Rosman Shamsudin

BEHRANG: Tempahan pelbagai jenis kek tradisional dalam kalangan generasi muda memudahkan pasangan suami isteri ini memperluaskan pasarannya, sekali gus mampu menjana pendapatan untuk menampung kelangsungan hidup.

Peniaga kek tradisional, Dian Farhana Mohd Daud, 37, dan suaminya, Iswandi Ishak, 49, yang memulakan perniagaan itu sejak lapan tahun mengakui meskipun banyak kek moden yang wujud di pasaran, ia tidak menenggelamkan tempahan terhadap kek tradisional.

Katanya, kek tradisional dihasilkan meliputi kek oren dan pelangi yang menggunakan bahan asas iaitu tepung, telur, marjerin dan gula. Kek ini lazimnya dihidangkan untuk tetamu pada musim perayaan.

Justeru, Dian Farhana mengambil inisiatif itu untuk terus membuat kek berkenaan.

“Kuih ini lebih dikenali oleh golongan ‘otai’, tetapi kini semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan muda.

“Variasi dan cita rasa kek klasik ini juga tidak kurang hebatnya sehingga ia semakin digemari golongan generasi sekarang.

“Peringkat awal, saya sendiri teragak-agak atau kurang yakin dengan resipi kek diberi nenek saya, Zaiton Akob yang kini berusia 86 tahun untuk mencuba membuatnya.

“Mengikut resipi diberi semua bahan asas perlu disukat menggunakan cawan bukannya guna penimbang seperti penyediaan kek zaman moden sebelum dimasukkan ke dalam mesin pengadun.

“Proses membuat kek klasik juga memang mudah dan tidak rumit seperti kek moden, tetapi rasanya memang digemari oleh orang-orang lama yang membesar dengan makanan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Slim River, baru-baru ini.

Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu, pasangan ini mampu mendapat tempahan lebih 1,000 biji kek, pada musim perayaan.

Kini tempahan kira-kira 500 kek sahaja di samping menjual kek setiap hari bagi menampung kehidupan.

“Pada hujung minggu, kira-kira 300 kek dijual di pasar malam dan pasar pagi di kawasan daerah Muallim, Perak dan Hulu Selangor, Selangor namun bergantung kepada cuaca dan keadaan semasa,” katanya.

Kek tradisional ada tarikan tersendiri

Ramai pelanggannya juga berusia 40-an dan warga emas kerap mengunjungi gerainya.

“Kek klasik ini mampu menggamit memori zaman kanak-kanak kerana menurut pelanggan kek ini yang sering dihidangkan jika bertandang di rumah saudara mara, ketika Aidilfitri atau majlis tertentu.

“Sejak itu, baru memahami di sebalik keinginan nenek yang mahu saya mewarisi resipi kek terbabit, sebenarnya kek itu mempunyai tarikan tersendiri.

“Malah, kek ini mampu menggamit memori atau nostalgia lalu ketika zaman kanak-kanak orang-orang terdahulu,” katanya.

Kek oren dan pelangi yang cukup popular dalam kalangan pelanggan otai ini berharga RM12, selain turut menjual kek kelapa dan kek coklat bagi mempelbagai cita rasa.

“Ke semua kek itu dimasak dengan menggunakan ketuhar industri di rumah mereka berhampiran Bandar Behrang 2020 bagi menampung permintaan orang ramai,” katanya.

Kek klasik ini memang ringkas tanpa ada bahan tambahan atau hiasan seperti kek moden dan mungkin ini menyebabkan ia kurang digemari oleh golongan muda.

“Masalah kita, hanya untuk mendapatkan bekalan telur ayam sebagai bahan utama kuih ini,

“Ini cabaran kami. Bayangkan kadangkala terpaksa mencari telur dari Behrang sehingga ke pekan Rawang, Selangor,” katanya.

Untuk memastikan bekalan telur ayam mencukupi beliau akan mencari di kawasan lain supaya stok sentiasa ada.