Ipoh, 23 Ogos 2022 — Kerajaan Negeri Perak hari ini menganjurkan Perak Sejahtera 2030: State Leadership Summit 2022 dengan kerjasama Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Konvensyen ini merupakan sebahagian daripada Pelan Perak Sejahtera 2030 yang telah dilancarkan pada 15 Jun 2022 lalu dengan tujuan sebagai ‘refresher program’ pengurusan strategik kepada pengurusan dan pentadbir negeri ke arah mencapai matlamat Perak Sejahtera 2030.

Majlis yang berlangsung selama dua hari di Hotel Casuarina@Meru Ipoh ini merupakan satu platform terbaik yang memberi peluang dan ruang kepada para peserta berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta berbincang untuk mencari pendekatan pembuatan keputusan yang inovatif dan kreatif dalam isu-isu melibatkan pengurusan, pemantauan dan pelaksanaan projek-projek berkepentingan negeri.

Pelbagai barisan penceramah dari dalam dan luar negara turut hadir ke majlis, antaranya Profesor Kate Raworth, Pengasas Model Ekonomi Donat, Tuan Mubarak Ali Gulam Rasul, Ketua Pegawai Eksekutif LUMUT Port dan Deputi Komisioner Polis (DCP) Dato’ Fadzil Ahmat, Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Tetamu kehormat, Profesor Kate Raworth dalam sesi beliau turut memberi pendedahan kepada penjawat awam mengenai pelaksanaan Model Ekonomi Donat. Kumpulan penjawat awam adalah kelompok pelaksana yang merupakan tonggak utama dalam merealisasikan pelan ini melalui Perak Sejahtera 2030.

YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dalam ucapannya berkata penganjuran Perak Sejahtera 2030 ini juga tidak akan terkecuali daripada menerima kesan secara langsung dan tidak langsung daripada isu keselamatan makanan, geopolitik, demografi, iklim dan sebagainya.

Dalam hal ini, perubahan memerlukan kepada sebuah pemangkin di mana setiap individu penjawat awam atau jentera kerajaan perlu menggalas tanggungjawab ini. Jentera kerajaan harus melakukan perubahan dan bergerak sederap ke arah satu tujuan iaitu merealisasikan apa yang telah dirancang di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.

Perak Sejahtera 2030 mempunyai tempoh pelaksanaan lapan tahun daripada sekarang untuk terus dilaksanakan. Kejayaan pelan tindakan ini bergantung sepenuhnya di atas bahu jentera kerajaan sebagai agen pelaksana. Justeru, semua penjawat awam perlu menghayati lima nilai kebersamaan yang termaktub di dalam blueprint iaitu kebersamaan, prihatin, jujur, bijaksana dan tegas.

YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim turut berkata peranan dan tanggungjawab jentera kerajaan hendaklah sentiasa disemat kemas di dalam minda dan hati nurani. Bukan itu sahaja, beliau juga berharap agar semua penjawat awam mampu meningkatkan mutu perkhidmatan.

Program Perak Sejahtera 2030: State Leadership Summit 2022 ini akan menjadi perintis kepada pelaksanaan program seumpamanya kepada para pentadbir dari setiap daerah untuk membangunkan daerah masing-masing bagi menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *