Manjung: Pernah menerima pakaian buruk, seluar mempunyai kesan darah dan kain berbau kapur barus tidak melunturkan semangat suami isteri ini mengumpulkan pakaian terpakai untuk disumbangkan kepada golongan kurang berkemampuan sejak tujuh tahun lalu. 

Siti Rohani Hassim, 41, dan Arbani Abdullah, 54, menjadi perantara penyumbang pakaian, buku, barangan elektrik dan pinggan mangkuk terpakai untuk diserahkan kepada mereka memerlukan. 

Siti Rohani berkata, mereka tidak memilih pakaian atau barangan yang mahu disumbangkan tetapi ia mestilah dalam keadaan baik dan masih boleh digunakan. 

Menurutnya, mereka selalu menerima pakaian yang sudah terlalu lusuh dan koyak rabak hingga berasa seolah-olah seperti tempat pembuangan baju yang sudah tidak diperlukan. 

“Kami pula terpaksa cari tempat untuk buang dan bakar semua pakaian yang tak boleh digunakan itu. Walaupun sudah banyak kali dipesan tetapi masih ada yang menghantar pakaian seperti itu. 

“Bukan minta yang baru, mahal dan cantik tetapi biarlah baju itu masih boleh dipakai, namun masih ada bermurah hati apabila memberikan pakaian baru seperti seragam sekolah,” katanya ketika ditemui di tempat pengumpulan pakaiannya di Kampung Dato’ Seri Kamaruddin (KDSK), di sini. 

Menurutnya, mereka juga pernah menerima kain batik lepas menutup jenazah, kain masih berbau kapur barus dan pernah beberapa kali terkena badi mayat menyebabkan badan lemah dan sakit.

“Tapi saya tak anggap kerja ini menyusahkan, malah gembira dapat melakukannya. Kami sendiri pernah melalui fasa susah jadi kita nak menggembirakan orang walaupun hanya barang terpakai, kalau dapat baru itu bonus,” katanya. 

Bercerita lanjut, ibu kepada tiga anak itu berkata, mereka bermula dengan menjual pakaian sendiri sebelum penduduk setempat meminta bantuan menyerahkan baju kepada golongan asnaf. 

Katanya, selain diberikan secara percuma, ada pakaian dijual pada harga bawah RM5 dengan keizinan penyumbang bagi menampung kos membasuh semua pakaian yang dilakukannya sendiri bagi membeli sabun pencuci dan pewangi. 

“Penyumbang juga beritahu terpulang pada kami jika mahu jual, sedekahkan atau dipakai sendiri. Pakaian yang dijual hanya untuk kos membasuh saja, manakala selebihnya disumbangkan kepada orang ramai. 

“Selalunya paling ramai orang datang mengambil baju apabila musim buka sekolah dan hari raya. Kadang-kadang ada juga badan bukan kerajaan (NGO) datang mengambil baju untuk diberikan melalui program mereka,” katanya.

Source : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *