Hidupkan semula lokasi nostalgia People's Park, rancakkan aktiviti malam

Datuk Rumaizi Baharin (tengah) selepas hadir Majlis Pelancaran Mid Autumn Carnival atau Perayaan Kuih Bulan di People’s Park. – Astro AWANI

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan bekerjasama dengan beberapa persatuan kedai kopi bagi membangunkan semula People’s Park, di sini yang sebelum ini menjadi lokasi popular dalam kalangan pengunjung.

Taman rekreasi yang sinonim dengan bandar raya Ipoh itu dikatakan ‘hidup’ dan rancak dengan aktiviti perniagaan sekitar tahun 80-an, malangnya kini bertukar sepi.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, walaupun ada inisiatif untuk menghidupkan semula kawasan ikonik itu sebelum ini, namun ia tidak begitu memberangsangkan.

“Ipoh ini sebenarnya banyak sangat aset sebelum ini yang dikatakan ‘aset mati’, pertama Kinta Riverwalk satu masa dulu tenggelam tapi kita bangunkan semula.

“Alhamdulillah, saya nampak Kinta Riverwalk sudah aktif semula dengan ramai pengunjung, keduanya kita mahu bangunkan People’s Park.

“Kalau dulu tahun 80-an waktu malam memang aktif tapi semenjak 90-an hingga 2000 ia jadi suram, tiada orang datang dan vandalisme pun banyak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Majlis Pelancaran Mid Autumn Carnival atau Perayaan Kuih Bulan di People’s Park, di sini malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Chang Jiang International Sdn. Bhd, Foong Choa Mun dan Ahli-Ahli Majlis MBI.

Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari ke-15 bulan ke-8 kalendar Cina iaitu pada akhir Ogos hingga akhir bulan September.

Mengulas lanjut berhubung kerjasama itu, Rumaizi berkata pihaknya sudah mempunyai pelan rancangan untuk menggerakkan aktiviti di situ, di samping penglibatan persatuan serta syarikat swasta.

“Saya sudah rancang dengan Chang Jiang International Sdn. Bhd dan beberapa persatuan kedai kopi di Ipoh, kenapa tidak kita hidupkan tempat ini dengan pelbagai aktiviti.

“Buka sampai malam dengan medan selera, pertunjukan dan sebagainya, kita akan lihat apa yang bersesuaian.

“Dulu di sini masa saya kecil, kawasan sini macam taman… waktu malam pun meriah dengan perniagaan kedai makan, tapi satu masa ia bertukar suram dan tenggelam.

“Saya orang ipoh, jadi bila saya jadi Datuk Bandar dan lihat kawasan ini, rasa sayang betul tempat nostalgia ini, memang patut dibangunkan semula” katanya lagi.

Ketika ditanya mengapa kawasan ini masih suram walaupun pernah dibangunkan sebelum ini, Rumaizi berkata isu utama adalah ia dijalankan bersendiri.

“Saya rasa dulu-dulu (kurang menjadi) sebab kita (MBI) buat bersendiri. Kerja atau perniagaan ini kena berkawan.

“Maknanya sekarang kita bergerak dan bekerjasama dengan persatuan, harapnya mereka (persatuan kedai kopi) dapat bantu realisasikan usaha ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Choa Mun berkata dia mula menjalankan perniagaan kedai kopi di People’s Park pada hujung Disember tahun lalu.

“Sambutan di sini sekarang sudah stabil, harapnya tempat ini boleh menjadi lokasi wajib dikunjungi oleh para pengunjung ke Ipoh khususnya untuk menikmati kopi,” katanya.

Source : Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *