Hanya 10 peratus rakyat Perak punyai kesedaran pengurusan e-waste

Perkara tersebut berkait rapat dengan budaya atau sikap masyarakat yang suka menyimpan peralatan elektrik atau elektronik yang lapuk. – Gambar fail/Reuters

IPOH: Hanya 10 peratus rakyat di negeri ini yang dipercayai mempunyai kesedaran berhubung kepentingan pengurusan sisa produk elektrik dan elektronik (e-waste) terhadap alam sekitar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak Rosli Zul berkata tahap kesedaran itu masih lagi rendah dan perkara tersebut berkait rapat dengan budaya atau sikap masyarakat yang suka menyimpan peralatan elektrik atau elektronik yang lapuk walaupun menyedari ia tidak lagi boleh digunakan.

“Perak mempunyai lebih 2 juta rakyat dan kalau mengikut pengiraan global seorang individu akan hasilkan lebih 2 kilogram (kg) e-waste. Berdasarkan anggaran itu, jumlah pengumpulan e-waste sepatutnya jauh lebih besar berbanding 314 metrik tan e-waste yang kita berjaya rekodkan pada tahun lepas.

“Punca utama adalah masyarakat kita masih ada sikap suka simpan peralatan lama yang telah rosak dan sebagainya. Alasannya, barang tersebut mempunyai banyak kenangan dan mempunyai nilai sentimental dalam kehidupan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Enviro Challenge Rakan Alam Sekitar di Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam di sini, hari ini.

Rosli berkata sikap seumpama itu sepatutnya dielakkan kerana ia tidak memberi sebarang nilai tambah atau manfaat kepada masyarakat.

Menurut beliau setakat ini terdapat lebih 30 pusat pengumpulan e-waste di Perak yang melibatkan kerjasama antara pihaknya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita bekerjasama dengan PBT kerana mereka merupakan pihak yang paling dekat dengan masyarakat selain merupakan antara agensi utama yang memfokuskan kepada pengurusan membabitkan sektor perumahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 17 pasukan melibatkan 68 individu terdiri dalam kalangan pelajar institusi pendidikan telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut yang dilaksanakan bersempena Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri.

Tambahnya, pertandingan berkonsepkan ‘explorace’ itu membabitkan beberapa lokasi di sekitar Ipoh seperti Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam, Taman Rekreasi Gunung Lang, Dataran Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh, Pasar Loken dan Terminal Amanjaya.

Source : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *