HADI Fayyadh yakin kembalikan kegemilangan Perak. FOTO L MANIMARAN

Kuala Lumpur: Penyerang baharu Perak FC, Hadi Fayyadh Abdul Razak mahu mengembalikan kegemilangan pasukan itu yang pernah berada di kemuncak pada awal 2000 sehingga 2007.

Pada ketika itu, skuad The Bos Gaurus muncul pasukan paling konsisten dalam Liga Malaysia dengan beberapa kejuaraan termasuk Liga Perdana (kini dikenali Liga Super), Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Jelas Hadi, dia sedia membantu negeri kelahirannya itu untuk mencapai semula era keemasan itu dengan mencurahkan segala pengalaman selama tiga musim di Jepun buat Perak FC.

“Saya nak membantu pasukan Perak bangun balik. Kita tahu pasukan Perak sebuah pasukan yang sangat bagus suatu ketika dulu.

“Saya percaya kita akan dapat melakukan lagi dan ia mungkin ambil sedikit masa tapi saya percaya dan yakin kita boleh menjadi lagi,” katanya pada majlis pelancaran jersi baharu pasukan itu di Ipoh, semalam.

Semalam, Perak FC membuat kejutan apabila berjaya mendapatkan sentuhan ‘samurai biru’ dengan membawa pulang penyerang sensasi, Hadi Fayyadh dari Jepun.

Hadi, 22, yang berkelana selama tiga musim di Liga Jepun sejak 2019 bersama Fagiano Okayama dan Azul Claro Numazu memilih untuk kembali ke saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sepanjang berkelana, Hadi tidak pernah mencatat sebarang penampilan buat Fagiano yang beraksi di saingan divisyen dua Jepun sebaliknya hanya kerap diturunkan dalam aksi persahabatan dan bersama skuad pembangunan kelab itu.

Pada hujung 2021, dia dipinjamkan ke Azul Claro Numazu di saingan divisyen tiga Jepun dan berjaya membuat tiga penampilan buat kelab terbabit.

Sentuhan pengendali Perak FC, Lim Teong Kim yang pernah melahirkan bintang bola sepak Jerman seperti Thomas Muller diyakini mampu melonjakkan prestasi Hadi untuk muncul selaku peledak terbaik negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *