Saarani berucap di Sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. – Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menangguhkan kelulusan Rang Undang-Undang Sumber Air (RUUSA) Perak 2022 bagi membolehkan ia diperhalusi dan ditambah baik sebelum diluluskan.

Keputusan berkenaan diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengemukakan usul berkenaan ketika sesi pengulungan RUUSA Perak 2022 selepas ia dibahaskan dalam Persidangan DUN Perak semalam.

Menurut Saarani, penangguhan tersebut dilaksanakan selepas mengambil kira hujah-hujah yang disampaikan lima wakil rakyat kerajaan dan lima wakil rakyat pembangkang dalam sesi perbahasan berkenaan.

“Saya sendiri telah meneliti segala hujah serta pandangan Ahli-Ahli Dewan dari kedua belah pihak, sama ada pihak penyokong kerajaan atau pun wakil-wakil pembangkang, dan mendapati dengan jelas bahawa wujud ruang dan peluang untuk penambahbaikan kepada Rang Undang-Undang yang dicadangkan itu.

“Oleh itu, bagi tujuan memurnikan pelbagai syor dan pandangan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan semasa perbahasan, saya dengan ini mencadangkan supaya Rang Undang-Undang tersebut ditangguhkan kepada suatu masa yang akan ditetapkan,” katanya ketika menggulung perbahasan sempena Persidangan DUN Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani juga berkata, sebuah jawatankuasa bipartisan akan ditubuhkan bagi membolehkan semua pihak duduk semeja untuk memperhalusi dan mengharmonikan Rang Undang-Undang tersebut.

“Jawatankuasa bipartisan ini penting supaya apabila Rang Undang-Undang ini dibawa semula ke dewan ini, ia dapat menggambarkan kehendak sebenar wakil-wakil rakyat sekali gus memberi kebaikan kepada negeri dan rakyat Perak,” katanya.

Tambahnya lagi, keputusan menangguhkan kelulusan RUUSA Perak 2022 ini juga dipersetujui sebulat suara Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang turut membincangkan perkara berkenaan.

Source : Kosmo Online