Dua syarikat didenda gagal adakan sistem kerja selamat

Pertuduhan ke atas kedua-dua syarikat dikemukakan mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. – Gambar hiasan

IPOH: Dua syarikat masing-masing didenda RM45,000 dan RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas pertuduhan gagal mengadakan sistem kerja selamat dua tahun lepas.

Syarikat kontraktor Amcon Engineering Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusan Soong Chia Chuan dan Unifuji Sdn Bhd diwakili Pengarah Bahagian Operasi P. Rajasegaran dikenakan hukuman itu selepas dua wakil syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Amcon Engineering Sdn Bhd didakwa sebagai majikan didapati gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja bagi kerja ‘flushing’ sehingga menyebabkan kemalangan kepada tiga petugas di Tangki A Pump House, Proton Tanjung Malim Sdn Bhd kira-kira pukul 2.45 petang, pada 28 Nov 2020.

Sebuah lagi syarikat, Unifuji Sdn Bhd didakwa gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja pemeriksaan di dalam tanki enap cemar di Loji Rawatan Kumbahan sehingga menyebabkan seorang pekerja tempatan berusia 32 tahun maut di Ulu Bernam Estate, Hilir Perak kira-kira 5.50 petang, 21 Sept 2020.

Pertuduhan ke atas kedua-dua syarikat dikemukakan mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Amcon Engineering Sdn Bhd kemudian didenda sebanyak RM45,000 manakala Unifuji Sdn Bhd didenda RM40,000. Kedua-dua wakil syarikat membayar denda itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak Fazira Azita Abdul Rashid manakala Shassidaren Deva Sana Pathy mewakili Unifuji Sdn Bhd sementara Amcon Engineering Sdn Bhd tidak diwakili peguam.

Source : Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *