Pastikan setiap makanan atau barang keluaran hanya menggunakan perakuan perihal halal dan penandaan halal yang mendapat perakuan daripada pihak berwibawa. – Gambar hiasan

IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM30,000 ke atas sebuah restoran kerana mempamerkan bunting yang mempunyai ungkapan ‘Ramadan Special’ tanpa Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Kes ini adalah susulan daripada Op Halal yang dijalankan sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Ramadan lalu.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, dari hasil siasatan lanjut, JAIPk mengesahkan premis berkenaan bukan pemegang sijil halal.

Sehubungan itu, katanya, tindakan telah diambil kerana didapati telah membekal atau menawar untuk membekalkan makanan dengan membuat apa-apa representasi atau perbuatan yang boleh memperdaya atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.

“Dengan itu ia menjadi kesalahan di bawah Subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan(Takrif Halal) 2011 dan boleh dihukum di bawah Subperenggan 5(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, jika sabit kesalahan di bawah perintah itu, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.

Katanya, tertuduh yang tidak diwakili peguam telah mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Sehubungan itu, Saifullizan menggesa pengusaha restoran atau syarikat supaya berhati-hati dalam menggunakan perbahasan halal.

Katanya, mereka perlu memastikan setiap makanan atau barang keluaran hanya menggunakan perakuan perihal halal dan penandaan halal yang mendapat perakuan daripada pihak berwibawa.

“KPDNHEP menasihati para peniaga agar memohon sijil halal yang sah apabila berurus niaga menggunakan perbahasan/penandaan halal,” ujarnya.

Source : Astro Awani