Gerik: Cadangan mengenakan bayaran permit tahunan bagi memasuki Bukit Kledang di kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong, daerah Kinta, dekat Ipoh akan dibentangkan semula kepada kerajaan negeri selewat-lewatnya, Oktober ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, ketika ini, kajian serta input dapatan daripada orang awam masih dijalankan berhubung permit memasuki Hutan Simpan Kekal (HSK) kategori tertutup itu, selain beberapa lagi kawasan sama yang dikenal pasti di negeri ini.

“Ia (pembentangan mengenai permit) bukan sahaja untuk Bukit Kledang itu, tetapi turut meliputi dua tiga tempat lagi di Perak yang sudah dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu Majlis Flag-Off Operasi Bersepadu SMART Negeri Perak JPNPk di Rumah Rehat Gerik, di sini, hari ini. 

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi & Teknikal) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Mohd Rahim Rani; Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood; dan Pegawai Pemerintah Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Superintendan Ramli Wan Salin.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dilaporkan berkata, pelaksanaan permit di Bukit Kledang ditangguhkan seketika hingga dimaklumkan kelak bagi memberi ruang kepada JPNPk melakukan kajian semula termasuk mengambil kira kawasan berkenaan sebagai kawasan rekreasi terbuka sejak puluhan tahun.

JPNPk menerusi hebahan bertulis pada Jun lalu memaklumkan mengenai penguatkuasaan permit memasuki Bukit Kledang di HSK Kledang Saiong bagi menjalankan aktiviti rekreasi harian, melalui pas bermusim yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu, selaras Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Menerusi hebahan itu, bayaran dikenakan bermula dari harga RM10 iaitu untuk warga emas, RM100 (kanak-kanak bawah 18 tahun), danRM200 bagi dewasa warganegara, manakala untuk warganegara asing ia bermula dari RM400 hingga RM800, dengan yuran proses permit sebanyak RM20.

Mohamed Zin berkata lagi, bayaran permit secara tahunan atau pas bermusim yang dikenakan bertujuan memudahkan orang ramai khususnya yang gemar melakukan aktiviti riadah secara rutin di kawasan itu.

Mengenai operasi bersepadu SMART, Mohd Rahim, berkata JPNPk adalah jabatan perhutanan pertama di Semenanjung Malaysia yang menjalankan rondaan dan penguatkuasaan berasaskan sistem SMART. 

Mohd Rahim berkata, melalui pelaksanaan aktiviti SMART, ia mengukuhkan pemantauan, risikan, siasatan, dan pendakwaan berkaitan jenayah hidupan liar dan perhutanan yang sekali gus mempamerkan komitmen dan kerjasama tinggi antara agensi berkaitan.