IPOH: Kerajaan Perak akan membawa isu perolehan Tanah Rizab Melayu oleh syarikat bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu seperti di Sitiawan, untuk pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tindakan sewajarnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan), berkata beliau bersama Setiausaha Kerajaan Negeri; Penasihat Undang-Undang negeri; dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Selasa lalu.

Berdasarkan perbincangan itu, beliau berkata, pihak SSM memaklumkan tiada peraturan mengikut Akta Syarikat Malaysia 2016 yang boleh menyekat atau menghalang mana-mana syarikat meminda perlembagaannya termasuk bagi tujuan penjualan saham syarikat sama ada kepada Melayu atau bukan Melayu.

“Persoalannya, di mana punca kuasa untuk menyekat aktiviti sedemikian? Inilah yang saya maksudkan sebagai kelompongan begitu serius yang perlu diberi perhatian.

“Kerana tindakan lembaga pengarah membenarkan penjualan saham kepada bukan Melayu meskipun mengetahui tindakan itu akan mengakibatkan Tanah Rizab Melayu yang dimilikinya akan jatuh kepada bukan Melayu, jelas bercanggah dengan Enakmen Rizab Melayu.

“Pihak SSM juga menyatakan tiada peruntukan dalam Akta Syarikat Malaysia 2016 yang memberi kuasa kepadanya untuk membatalkan pendaftaran syarikat meskipun berlaku perubahan pemilikan saham memandangkan ia dianggap sebagai urusan dalaman sesebuah syarikat.

Pada masa sama, SSM sebagai pengawal selia syarikat tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk menyekat aktiviti penjualan saham oleh syarikat yang memiliki tanah berstatus Tanah Rizab Melayu,” katanya ketika menjawab soalan lisan Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Saarani mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa isu Tanah Rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan yang hangat diperkatakan kerana sudah berpindah milik kepada bukan Melayu, tidak pernah dipindah milik melalui pihak berkuasa tanah iaitu PTG negeri, sebaliknya diperoleh oleh syarikat bukan Melayu melalui penjualan syer saham syarikat Melayu.

Pada 12 April lalu, Saarani dilapor berkata, status tanah rizab Melayu tidak akan hilang walaupun syarikat Bumiputera selaku pemilik asalnya berubah sama ada dibeli atau pegangan saham majoritinya berpindah milik kepada entiti bukan Bumiputera.

Berdasarkan laporan media itu, Saarani memberi contoh tanah yang pernah dimiliki anak syarikat MARA Holdings Sdn Bhd (MARA Holdings) di Sitiawan apabila status rizab Melayu pada tanah itu tidak berubah walaupun syarikat itu dibeli bukan Bumiputera, sekali gus memberi jaminan status tanah rizab Melayu tidak akan sesekali terkesan apatah lagi terhapus disebabkan oleh perubahan pada milikan sesebuah syarikat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Persidangan Pertama Mesyuarat Ketiga Tahun Pertama Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak Darul Ridzuan. – Foto L MANIMARAN

Sumber : Berita Harian Online