IPOH – Penduduk Perak boleh menikmati harga barangan basah seperti ayam, telur dan ikan dengan murah sempena Karnival Sekuriti Makanan@Perak Sejahtera 2030 di Dewan Millenium, Lubok Merbau, Kuala Kangsar.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad itu melibatkan jualan seperti ayam dengan harga serendah RM4 seekor, telur ayam gred B berharga RM10 sepapan serta ikan tilapia RM10 sekilogram.

Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dalam satu kenyataan memaklumkan, jualan itu antara daya penarik utama yang ditawarkan kepada pengunjung untuk mendapatkan barangan tersebut dengan harga berpatutan.

Menurutnya, karnival dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Perak dan Jabatan Pertanian Negeri Perak itu bagi memberi peluang kepada penduduk negeri ini mendapatkan barangan keperluan harian berasaskan produk industri asas tani (IAT), makanan dan hiliran dengan harga rendah serta diskaun tinggi berbanding di pasaran.

“Jualan murah ini termasuklah anak-anak pokok buah-buahan, sayur-sayuran daripada Jabatan Pertanian, ikan cue dan pelbagai jenis ikan segar oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan produk IAT berasaskan daging oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Turut dijual nanas dan produk IAT oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia serta jualan makanan ‘food truck’ disediakan Sekretariat Usahawan Negeri Perak,” katanya.

Selain aktiviti jualan, pameran pertanian serta pembukaan kaunter khidmat pelanggan daripada pelbagai agensi turut disediakan termasuklah Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Darul Ridzuan (IDR).

Source : Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *