Ipoh: Kerajaan Perak melancarkan aplikasi Talent Perak iaitu platform kerjaya dalam talian bagi memudahkan pencari kerja mendapat peluang pekerjaan di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata aplikasi itu yang dibangunkan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan individu hanya perlu memuat turun ke telefon bimbit melalui Google Play Store, App Store, dan Huawei AppGallery.

Menurutnya, pengguna boleh membuat carian jawatan kosong mengikut kategori demografik, industri, pengajian, dan peringkat jawatan yang berdekatan dengan jarak lokasi pengguna sekali gus boleh memohon jawatan kosong yang diinginkan melaluinya juga. 

Artikel Berkaitan

• Perlombongan lantanid mula September depan [METROTV]• Operasi lombong ‘lantanid’ boleh dijalankan tidak lama lagi [METROTV]• Perak lulus rintis lombong ‘lantanid’ di Hulu Perak [METROTV]• Belum ada laporan majikan ambil pekerja bawah umur

“Pembinaan aplikasi berkenaan adalah antara usaha berterusan kerajaan negeri untuk memfokuskan kepada penyediaan peluang dan persiapan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri selain memastikan keboleh pasaran graduan Perak sentiasa dapat dipertingkatkan.

“Ia selari dengan komitmen kerajaan negeri yang sedang giat membuka kawasan industri baharu di Perak selain peningkatan permintaan daripada syarikat multinasional untuk membuka atau meluaskan operasi mereka di negeri ini,” katanya dalam sidang media sempena program karnival itu, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Saarani berkata aplikasi itu masih dalam peringkat versi Beta dan pihak PASAK akan mendapatkan input dan maklum balas daripada pengguna untuk memastikan aplikasi itu dapat diakses dengan lancar.

Sementara itu, sebanyak 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi penganjuran Karnival Kerjaya Perak Sejahtera yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, di sini sejak semalam hingga esok. 

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang membincangkan kadar royalti dan beberapa ketetapan lain berhubung projek rintis perlombongan nadir bumi ‘lantanid’ di Mukim Kenering, Gerik, Hulu Perak akan diadakan pada Rabu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *